Thursday, April 23, 2009

Tv oh Tv

Kempen tidak tonton TV dipertikai

KUALA LUMPUR 22 April - Kempen tidak menonton televisyen selama seminggu anjuran Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) yang bertujuan mengeratkan hubungan keluarga, dianggap sebagai satu usaha yang kurang berkesan.

Pelbagai pihak berpendapat, dengan tidak menonton televisyen, ia seolah-olah seperti tidak ingin mengetahui sebarang perkembangan dan isu semasa.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, kempen itu adalah sesuatu yang kurang wajar.
''Kita tidak tahu sejauh mana keberkesanan kempen ini. Jika tidak menonton televisyen, anak-anak akan melakukan perkara lain seperti melayari Internet.


''Oleh itu, jika tujuannya mengeratkan hubungan keluarga, televisyen perlu ditonton oleh anak-anak bersama ibu bapa tetapi mestilah memilih rancangan yang memberi manfaat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kempen tidak menonton televisyen yang dianjurkan oleh FOMCA bermula semalam.

FOMCA melancarkan kempen tersebut kerana ingin menggalakkan ibu bapa dan anak-anak meluangkan masa bersama dan menjalankan aktiviti bermanfaat bersama keluarga.
Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru-Guru Besar Malaysia (GMGB), Ruslan Madon berkata, terdapat cara lain yang boleh dilakukan untuk mengeratkan hubungan ibu bapa dan anak-anak.


''Makan bersama sekeluarga merupakan salah satu cara untuk merapatkan hubungan keluarga.
''Bagi mengelakkan anak-anak menonton rancangan yang tidak berfaedah, ibu bapa perlu sediakan jadual harian untuk anak mereka dan sentiasa bersama ketika mereka mengulang kaji pelajaran,'' katanya.


Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata ibu bapa yang ditemui tidak bersetuju dengan kempen tersebut.

Seorang kakitangan kerajaan yang hanya mahu dikenali sebagai Noor, 38, berkata, dengan menonton televisyen bersama anak-anak, hubungan keluarga bertambah erat.
''Apabila menonton televisyen bersama anak-anak, secara tidak langsung kita bercakap dan berbincang pelbagai perkara dengan mereka,'' katanya.


Suri rumah, Norlia, 55, pula berpendapat, bagi umat Islam, sembahyang berjemaah bersama keluarga adalah kunci kepada merapatkan hubungan keluarga.
Seorang guru, Mohd. Azhar Abu Zarin, 41, berkata, hujung minggu merupakan masa sesuai untuk ibu bapa meluangkan masa bersama anak-anak.


''Jangan disekat anak-anak untuk menonton televisyen kerana pada hari bekerja, ibu bapa tiada masa untuk anak-anak,'' katanya.

Bagaimanapun, Yani, 29, bersetuju diadakan kempen tidak menonton televisyen selama seminggu dan menyifatkannya sebagai kempen yang bagus.

''Tidak memberi anak-anak menonton televisyen selama seminggu mengajar mereka merasai kesusahan ibu bapa pada zaman dulu yang tetap berjaya walaupun tidak menonton televisyen,'' ujarnya.

Sumber daripada utusan malaysia 23 April 2009

Aduhai, aku yang jarang tengok tv ni tergelak la baca artikel ni, alahai...dalam seminggu, rasanya ada beberapa jam je aku tengok tv, kalau tengok tv pun, aku tengok National geographic, Discovery Channel, History Channel sebab bagi aku, banyak maklumat boleh didapati. tapi saluran lain aku tengok juga!.

Cara paling baik luang masa dengan anak-anak daripada umur diorang masih muda lagi. Kalau dah masuk umur 13 ke atas tu payah sikit.

1 comment:

Willie a.k.a Reptoz said...

Agak bodoh juakla cadangan tok. hehehe gara gara akibat kempen earth hour. semua benda mok ditutup